KLANG – Keghairahan lima lelaki dipercayai berlumba mengundang padah dengan seorang daripadanya maut selepas terbabas ketika melalui kawasan kemalangan lain di Kilometer Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.45 pagi, Muhammad Azim Faimin, 27, menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Empat lagi termasuk dua beradik remaja berusia 17 hingga 21 tahun cedera dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini
Kesemua mereka ini menunggang masing-masing dua motosikal jenis Yamaha Lagenda 115fi selain Y15ZR dan Lagenda 110.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan siasatan awal berlaku kemalangan awal di lokasi kejadian melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dan Mercedes CLS 350.
Katanya, pemandu Myvi berusia 21 tahun yang dalam perjalanan ke Jalan Kebun dari Bukit Tinggi telah melanggar Mercedes yang dipandu individu belum dikenali.
“Pelanggaran itu mengakibatkan Perodua Myvi telah berpusing di atas jalan.
“Lima penunggang motosikal yang dipercayai sedang berlumba dari arah belakang terbabas ketika melalui serpihan pelanggaran kemalangan awal itu dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, mayat mangsa dan empat lagi yang cedera telah dihantar ke HTAR untuk tindakan lanjut.
Shamsul Amar menambah, pemandu Perodua Myvi telah hadir ke Balai Trafik Klang untuk membuat laporan manakala usaha mengesan pemandu Mercedes sedang dijalankan pihaknya.
Jelas beliau, kesemua kenderaan yang terlibat kemalangan telah dibawa ke Balai Trafik Klang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE