Lebih syaitan dari syaitan, suami tolak isteri mengandung dalam gaung

Seorang wanita China yang ditolak oleh suaminya dari sebuah tebing di Thailand pada 2019 kini beransur pulih dan memulakan hidup baharu, lapor laman berita Thaiger.

Wang Nan mengharungi pengalaman pahit sejak empat tahun lalu untuk memulihkan kecederaannya selepas nyaris dibunuh lelaki tersebut ketika bercuti di Thailand.

Mereka bercerai selepas kejadian itu.

Warga China berusia 35 tahun itu sedang hamil tiga bulan apabila suaminya, Yu Xiaodong dengan kejam menolaknya dari tebing di lokasi pelancongan popular, Pha Tam dalam daerah Kong Chiam pada 9 Jun 2019.

Seorang pelancong Thailand menemui Nan terbaring dalam keadaan cedera parah di laluan Taman Negara Pha Tam setelah jatuh dari ketinggian 34 meter dari puncak tebing.

Dia mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang paha kiri, lengan kiri, tulang bahu kiri, tulang pinggul dan lutut. Malangnya, bayi Nan tidak dapat diselamatkan.

Menurut Nan, Xiaodong memeluknya dari belakang sebelum menolaknya ke dalam gaung.

Perbuatan tidak berhati perut itu meninggalkan parut kekal tetapi ketabahan dan kekuatan Nan benar-benar menjadi inspirasi. Dia menjalani rawatan dan pemulihan untuk berjalan semula sekali gus membina hidup baharu sejak empat tahun lalu.

Keazaman Nan membuah hasil awal tahun ini apabila dia kini berupaya untuk berdiri dan berjalan semula tanpa bantuan tongkat.

“Semua kesukaran yang tidak mampu membunuh saya hanya menjadikan saya lebih kuat. Jika saya tidak melakukan pemulihan, saya akan ‘terkurung’ di atas katil dan kerusi roda selama-lamanya,” katanya. – Agensi

Terkini

Berita Berkaitan