MISTERI kehilangan seorang doktor pakar radiologi terkenal di Sulawesi Tengah, Indonesia sejak 6 Mei lalu menggemparkan penduduk setempat.
Mana tidaknya, Dr Faizal Kanang dikatakan hilang dengan penuh tanda tanya selepas menjalankan misi bantuan mangsa banjir di Desa Lingadan, Kecamatan Dakopamean.
Nak dijadikan cerita, selepas selesai menyerahkan wang bantuan berjumlah 26juta rupiah (RM7,830.81), lelaki itu kemudiannya menuju ke Desa Kapas untuk sesi sumbangan seterusnya.
Namun apa yang terjadi, motosikal yang ditunggang doktor tersebut ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di tepi jurang di Jalan Poros Tolitoli-Buol di Dusun Mamunu, Desa Lingadan.
Malangnya, susuk badan Dr Faizal tidak ditemui di lokasi kejadian dan keadaan tersebut menimbulkan pelbagai spekulasi membimbangkan.
Lapor kompas.com, kes berkenaan sudah dimaklumkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut memandangkan banyak andaian mengatakan mangsa diserang perompak.
Malah, ramai penduduk mengesyaki doktor yang berusia 42 tahun itu disembunyikan orang bunian.
Menurut laporan polis, pihaknya menemui barangan peribadi milik mangsa seperti kad pengenalan dan selipar di lokasi kejadian.
Isteri mangsa, Dr Cynthia Cornelius yang merupakan seorang doktor pakar perubatan dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kehilangan suaminya.
Pihak polis menemui jalan buntu selepas anjing pengesan gagal mengesan klu keberadaan mangsa di kawasan kejadian tersebut.
KANTOI CURANG
Misi mencari Dr Faizal masih diteruskan dan pada hari ke-20 mangsa dilaporkan masih hilang, satu penemuan mengejutkan membuatkan ramai garu kepala.
Rakaman televisyen litar tertutup di daerah Tomini, Kabupaten Parigi Moutong memperlihatkan mangsa yang sihat dan tiada sebarang kecederaan.
Rupa-rupanya, doktor berkenaan tinggal di sebuah hotel bersama skandal tersebut menggunakan kad pengenalan dan kad kahwin palsu.
Bukannya mangsa rompakan atau disorok jin tetapi rancangan licik yang dibuat untuk hidup bersama kekasih gelapnya yang masih berstatus isteri orang!
Memetik portal itu lagi, mangsa dikatakan mempunyai masalah rumah tangga.
Dia juga memberitahu, lelaki tersebut berniat untuk menghilangkan diri dan mahu meninggalkan isterinya.
‘Penemuan’ doktor berkenaan nampaknya bukannya berita gembira buat isteri yang setia menanti di rumah.
Kantoi curang bersama skandal di hotel membuatkan wanita itu mengurungkan diri di bilik dan enggan menemui media buat sementara waktu.