Kor Ming kata muncul ‘kerja iblis dan syaitan’ fitnah DAP setiap kali PRU

Artikel Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengajak pengundi menolak DAP dan mengaitkan parti itu dengan komunis mendatangkan kemarahan.

Naib Presiden DAP, Nga Kor Ming berkata, tindakan menyamakan parti yang dianggotainya dengan komunis sebagai ‘kerja iblis dan syaitan’ untuk menyebarkan fitnah.

Beliau menegaskan, tindakan mengaitkan DAP dengan fahaman dan gerakan komunis adalah satu pembohongan.

Fitnah itu merupakan taktik lama yang kotor dalam usaha untuk menyalahkan DAP dalam semua isu, ujarnya.

“Setiap kali musim pilihan raya, mesti muncul ‘kerja iblis dan syaitan’ memfitnah DAP. Taktik kotor lama kononnya ‘semua salah DAP’ sudah terbukti adalah satu pembohongan yg terbesar dalam sejarah tamadun manusia. Sudahlah!” ciap beliau di Twitter.

Kor Ming turut berkongsi poster yang memaparkan foto Abdul Hadi dengan tulisan #TolakDAP Pro-Komunis.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Hadi itu merupakan satu contoh cara Pas menutup sesuatu kegagalan.

“Bila Pas gagal, taktik kotor mereka adalah buat fitnah bodoh yang sudah lama basi. Muak dah,” tulisnya.

Dalam artikel yang dikongsi di media sosial, Abdul Hadi berkata, fahaman komunis lebih bahaya daripada tentera penjajah kerana ia menjajah pemikiran dan membunuh akidah.

“Sebarang usaha untuk mengangkat atau membenihkan semula ideologi komunisme di tanah air kita seperti mana yang pernah dilaksanakan oleh DAP sebelum ini hendaklah dicegah dan ditentang habis-habisan,” tegasnya.

Hadi
Antara poster yang dikongsi oleh Abdul Hadi dalam Facebook.

Abdul Hadi terut berkongsi beberapa poster yang mengaitkan DAP dengan komunis.

Ini termasuk kejayaan menyeludup dan menaburkan abu mayat Ketua Parti Komunis Malaya Chin Peng di Malaysia selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Pemimpin DAP juga menyertai perhimpunan bekas anggota komunis pada 1 Disember 2019.

Perhimpunan itu dianggap sebagai perjumpaan yang bersejarah sehari sebelum ulangtahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.

Selain itu, DAP juga dikaitkan dengan komunis selepas buku komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” diedarkan di Pulau Pinang.

Komik berkenaan diterbitkan secara kerjasama Kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia yang berpangkalan di Pulau Pinang, Hew Kuan Yau atau dikenali sebagai Superman DAP dengan artis tempatan, Chong Po Ling. – MalaysiaGazette

Setiap kali PRU muncul ‘kerja iblis dan syaitan’ fitnah DAP – Kor Ming

Terkini

Berita Berkaitan