Khairul (Bam Bob), lelaki berjiwa murni yang sukar dicari – FMT

KOTA BHARU: Sekali imbas bekas guru dan pengumpul barangan sekerap, Khairul atau lebih dikenali dengan nama Bambob ini mungkin kelihatan seperti pengutip ‘sampah’ yang menaiki motosikal roda tiga untuk ke bandar.

Tetapi sejujurnya, lelaki berusia 44 tahun itu memiliki jiwa yang sangat murni apabila berhadapan dengan haiwan liar.

Sehinggakan dia telah menjadikan aktiviti memberi makan kucing dan anjing liar yang ditemui di Kota Bharu sebagai misinya.

Walaupun usaha murninya itu sering dipersoalkan oleh kebanyakan orang, namun jawapan Bambob cukup mudah: semua makhluk yang lapar layak diberi makan dan mereka juga layak diperlakukan dengan baik.

“Pada awalnya, saya mula memberi makan kepada kucing-kucing liar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu. Kemudian satu hari saya terserempak dengan anjing yang mengais sampah.

“Saya terfikir, anjing ini pasti lapar kerana semua restoran ditutup dan tidak ada orang di sekitar untuk memberi mereka makan’, jadi saya memberikan makanan kucing kepada anjing tersebut,” ujar Bambob.

Bambob semasa memberi makan kepada anjing-anjing liar. (Gambar Bambob)

Bambob kemudian menamakan anjing tersebut sebagai Ah Ciak dan terus menambah satu lagi hentian untuk memberi makan kepada haiwan liar yang lapar itu.

Setakat ini, dia mempunyai sekitar tujuh perhentian yang perlu disinggah setiap hari untuk memberi makan kepada kucing dan anjing-anjing liar tersebut.

Rupanya Bambob bukan keseorangan, usaha murninya turut mendapat sambutan dari pengikut dan rakan-rakannya di laman sosial Facebook. Merekalah yang akan menyumbang dana untuk Bambob membeli makanan buat haiwan-haiwan liar ini.

Bermula dengan seekor, hinggalah banyak anjing yang sentiasa menunggu kedatangan Bambob setiap hari.

“Pada mulanya saya hanya memberi makan kucing dan Ah Ciak, tetapi kemudian dia mula membawa rakannya yang lapar. Saya menamakan geng ini Geng Ah Ciak” ujar Bambob sambil ketawa.

Beberapa minggu kemudian, Bambob menemui sembilan anak anjing berumur tidak lebih dari dua bulan.

Dia kemudian menamakan kumpulan ini sebagai ‘Geng Belang’ kerana bulunya yang menyerupai harimau.

Geng Belang. (Gambar Bambob)
Geng Istana. (Gambar Bambob)

Itu bukan akhirannya kerana terdapat dua geng lain: ‘Geng Istana’, terdiri daripada sembilan anjing yang dinamakan sempena jaraknya dekat dengan Istana Negeri Kelantan dan ‘Geng Anak Ah Ciak’.

Yang terakhir dinamakan sempena nama Ah Ciak yang ditemui berlindung di bawah lori yang tidak digunakan lagi.

Malangnya, kumpulan ini telah diracun beberapa minggu yang lalu dan tidak ada yang selamat.

“16 anjing dewasa dan pertengahan umur serta lima anak anjing mati setelah makan makanan yang diracuni,” kata Bambo sedih.

Abe Long, anjing kesayangan Bambob yang mati ditembak oleh penguatkuasa. (Gambar Bambob)

Dia juga memberitahu FMT bahawa anjing kesayangannya bernama Abe Long turut mati baru-baru ini.

“Saya sangat menyayangi mereka. Saya suka semua anjing yang saya beri makan dan saya percaya mereka juga menyayangi saya,”

Walaupun mengalami banyak keperitan dan kesedihan, Bambob tetap tabah dan bertekad untuk meneruskan misinya.

Bagaimanapun niat yang lebih besar adalah bukan hanya untuk terus memberi makan haiwan yang lapar tetapi juga untuk membuka minda rakyat Malaysia lain tentang pentingnya menjaga haiwan.

Baik kucing atau anjing, Bambob percaya bahawa kesejahteraan haiwan harus menjadi tanggungjawab bersama.

Oleh yang demikian, dia berharap agar kerajaan dapat membuat tempat perlindungan khusus untuk anjing dan kucing liar.

Ini harus menjadi salah satu tanggungjawab yang lebih serius dan negara seharusnya tidak hanya menggubal undang-undang berkaitan haiwan sahaja tetapi juga perlu fokus untuk menjaga mereka.

“Kita mengaku sebagai negara Islam, jadi umat Islam di negara ini perlu mencontohi bagaimana masyarakat Muslim di Turki melayan anjing dan kucing liar,” kata Bambob.

Bambob turut berharap orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama membantu anjing dan kucing liar di negara ini.

“Hanya dengan itu kita dapat melihat perubahan positif dan menyelamatkan semua haiwan ini”, katanya.

“Nenek moyang kita selalu menyuruh kita untuk melakukan kebaikan kepada makhluk-makhluk ini. Saya percaya sebagai sebuah komuniti, banyak yang boleh kita lakukan – selebihnya bergantung kepada pihak berkuasa untuk memainkan peranan mereka,”

Bambob mengalu-alukan orang ramai yang ingin membantunya dalam misi memberi makan kepada haiwan-haiwan liar di Kota Bharu. Anda boleh menghubungi Facebook untuk maklumat lebih lanjut mengenai sumbangan makanan kucing atau anjing ini.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/fmt-ohsem/ohsem-myhobi/2021/02/03/bambob-lelaki-berjiwa-murni-yang-sukar-dicari/

Terkini

Berita Berkaitan