Kes rasuah Lim Guan Eng satu perancangan rapi PN – Ng Suee Lim

DAP tidak menolak kemungkinan pendakwaan salah laku rasuah ke atas Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mengenai kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang dipercayai satu perancangan rapi untuk melemahkan Pakatan Harapan (PH).

Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim menyifatkan langkah itu merupakan pendakwaan bermotifkan politik dan tindakan itu sudah dijangka, lebih-lebih lagi selepas Kerajaan PH tumbang, Februari lalu.

“Kita yakin ini satu pendakwaan bermotif politik yang jelas dan nampak apa tujuan mereka

“Ini saya nampak seolah-olah ada satu perancangan dan selepas ini ia tidak terhenti di sini saja.

“Selepas ini ada Exco-Exco dari Pulau Pinang akan didakwa…ada pemimpin-pemimpin Amanah akan didakwa…ada pemimpin-pemimpin PKR juga akan didakwa.

“Ini semua dalam jangkaan kita kerana inilah cara mereka untuk melemahkan PH, DAP, Amanah dan PKR yang begitu kuat muafakat mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Foto – Dayak Daily

Semalam, Guan Eng ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Kuala Lumpur pagi ini.

SPRM dalam satu kenyataan semalam mengesahkan bahawa Guan Eng akan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SRPM.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan mendakwa, pemimpin DAP menjadi sasaran pertama yang akan dikenakan tindakan selepas PN mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

“Kes yang didakwa kepada setiausaha Agung DAP sebelum ini belum ada, tidak pernah terputus, maklumlah DAP adalah parti yang mereka sasarkan.

“Kita mempunyai kerusi yang banyak, DAP merupakan musuh nombor satu kepada PN.

“Mereka cuba semua kaedah, cara untuk melemahkan, mengucar-kacirkan kepimpinan DAP untuk mencapai matlamat mereka, kita tahu…kita faham,” katanya.

Bagaimanapun Suee Lim serta rakan sekutunya dalam PH akan terus memberi sokongan padu kepada bekas Menteri Kewangan itu dalam menghadapi pertuduhan rasuah itu.

“Kita akan terus sebarkan maklumat, kita yakin segalanya berani kerana benar, kita akan terus melalui proses ini (mahkamah).

“Yang penting kita berdiri teguh seluruh saf pimpinan, ahli-ahli akan berdiri teguh di belakang Guan Eng ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Kes rasuah Lim Guan Eng satu perancangan rapi PN – Suee Lim

Terkini

Berita Berkaitan