BESUT, 9 Sept — Seorang lelaki memberi alasan “takut cicak besar” selepas didapati tidur dengan dua wanita bukan mahram di sebuah chalet di Pulau Perhentian di sini, Jumaat lalu.
Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata, suspek berusia 20-an itu pada mulanya datang bersama wanita terbabit dan menyewa dua chalet bersebelahan, lapor Berita Harian.
“Bagaimanapun, semasa serbuan didapati bilik disewa atas nama lelaki itu kosong dan pemeriksaan di bilik bersebelahan mendapati dia sedang lena tidur bersama dua rakan perempuannya yang mana seorang berstatus isteri orang,” kata Nik Zuhaiza Ismail.
“Hasil soal siasat, lelaki itu memberi alasan yang tidak masuk akal kononnya terpaksa menumpang tidur di dalam bilik dua wanita terbabit kerana takut dengan kehadiran cicak besar di dalam biliknya dan susulan itu mereka ditahan bagi siasatan.”
Operasi melibatkan 30 anggota pada jam 3.30 pagi turut menahan sepasang kekasih yang menginap dalam satu chalet lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana khalwat.