Tiada yang mustahil buat Pas dan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dengan blok pembangkang bagi menghadapi ‘kesombongan’ UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, cadangan itu bagaimanapun mestilah berlandaskan syarat parti-parti pembangkang berkenaan tidak ekstrem dan bersedia meninggalkan DAP sekiranya mereka berada di dalam koalisi Pakatan Harapan (PH).
Beliau secara peribadi berpandangan segala kemungkinan boleh berlaku dalam politik, lebih-lebih lagi UMNO dilihat semakin rakus untuk mengenepikan Pas daripada kerjasama Muafakat Nasional (MN) pada saat mereka kembali menjadi kuat dan memimpin pentadbiran Putrajaya.
“UMNO sewajarnya menyedari sewaktu mereka jatuh teruk selepas kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), parti itu kembali memenangi banyak pilihan raya kecil disebabkan bantuan Pas.
“Kalau ada cadangan untuk mengajak blok pembangkang bersatu dengan Pas dan PN pun tidak mustahil dengan Pas tiada masalah mencari kawan baharu yang tidak ekstrem.
“Sebagai contoh, jika Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hendak bekerjasama dengan Pas pun boleh, dengan syarat mereka tidak ekstrem dan bersedia meninggalkan DAP,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Johor Bahru yang mengesyorkan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) melibatkan PN dan semua parti pembangkang yang bertanding dalam PRN Johor ditubuhkan bagi tujuan menumbangkan UMNO dan BN.
Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mencadangkan MRJ itu terdiri daripada Bersatu, PN, PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).