Kerajaan mahu luluskan pinda perlembagaan kukuh kedudukan Sabah, S’wak

Pindaan Perlembagaan Persekutuan agar selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibuat bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan itu juga selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi yang mampan.

“Persefahaman dan kestabilan politik, ekonomi serta sosial di Malaysia yang dicapai melalui rang undang-undang ini adalah penting bagi membentuk asas yang kukuh dalam sebuah Keluarga Malaysia,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Bacaan kali pertama rang undang-undang itu dibuat pada 3 Nov lepas.

Wan Junaidi berkata sebelum rang undang-undang tersebut dibentangkan, cadangan pindaan terlebih dahulu dipersetujui kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, dengan cadangan pindaan itu dibawa ke Jawatankuasa Rakan Sekutu pada 11 Okt lepas dan dipersetujui di peringkat Majlis Khas Mengenai MA63 pada 18 Okt dan Jemaah Menteri pada 20 dan 29 Okt lepas.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

  • (a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan
  • (b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Pindaan juga dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.

Selain itu, rang undang-undang itu juga bertujuan meminda Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perenggan (a) Fasal 6 iaitu “berhubung dengan Sarawak, seseorang yang merupakan warganegara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang dinyatakan dalam undang-undang Negeri sebagai ras asli bagi Negeri itu” serta memotong Fasal 7.

Secara umumnya, Wan Junaidi berkata Fasal (3) Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diluluskan di Parlimen melainkan jika rang undang-undang itu disokong pada bacaan kali kedua dan ketiga dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan Ahli Parlimen.

“Justeru, penetapan dasar yang jelas telah dilaksanakan untuk cadangan rang undang-undang ini melalui pelbagai sesi libat urus yang telah diadakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Menurut Wan Junaidi, beliau sendiri turut mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak antaranya bersama kerajaan Sabah menerusi pembentangan kepada Ketua Menteri pada 3 Okt lepas dan pembentangan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah pada 4 Dis.

Bagi sesi libat urus bersama kerajaan Sarawak pula, sesi pembentangan kepada Ketua Menteri diadakan pada 15 Okt selain libat urus bersama Ahli Parlimen GPS pada 28 Okt.

Sesi libat urus bersama pihak kerajaan (Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia – Barisan Nasional /Perikatan Nasional) berlangsung pada 7 Okt dan 2 Dis manakala sesi sama diadakan bersama pihak pembangkang (Pakatan Harapan) pada 12 Okt dan 7 Dis, katanya.

– Bernama

Terkini

Berita Berkaitan