Keputusan mahkamah tidak bermakna rakyat tolak Najib – Nur Jazlan

JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berharap Datuk Seri Najib Razak akan terus membantu parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 walaupun Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya, Rabu lalu.
Ini kerana, katanya, bekas Presiden UMNO yang merupakan perdana menteri keenam itu masih berpengaruh.
“Perbicaraan mahkamah telah dijalankan dan keputusan dicapai di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
“Saya masih berharap, walaupun beliau tidak dapat ambil bahagian PRU tetapi terus bantu parti dari belakang kerana beliau ada pemgaruh yang kuat kepada rakyat.
“Dan kita masih sayang pada dia walaupun dia dapati bersalah,” katanya ketika diminta memberikan pandangan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan hukuman terhadap Najib.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan surat tawaran Projrk Perumahan Rakyat (PPR) Perling kepada penduduk Kampung Sungai Pinang, Perling, di sini, hari ini.
Mahkamah Rayuan Rabu lalu  mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah di atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.
Ditanya sama ada langkah UMNO mahu mengekalkan Najib itu akan menjejaskan reputasi dan  imej parti, Nur Jazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) menafikan perkara itu.
“Ramai pihak pun menyatakan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai perbicaraan berbaur politik.
“Keputusan mahkamah itu tidak bermakna rakyat akan tolak Najib kerana beliau masih aset kepada negara.
“Tetapi ini tidak bermakna mereka akan menolak Datuk Sri Najib kerana Datuk Sri Najib merupakan aset kepada UMNO, cuma beliau diminta  memainkan peranan sebagai apa? Sebagai penguat kepada parti penyokong pada parti, saya rasa ini tidak salah,” katanya.-MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/2021/12/11/keputusan-mahkamah-tidak-bermakna-rakyat-tolak-najib-nur-jazlan/

Terkini

Berita Berkaitan