Ahli Jawatankuasa Komunikasi Strategik Jabatan Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Saiful Bukhari Azlan mengumumkan mengundur diri sebagai ahli parti itu berkuatkuasa hari ini.
Bekas Ketua Unit Penyelidikan, Pemuda Perikatan Nasional (PN), itu telah memanjangkan perkara tersebut ke pengetahuan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin melalui sepucuk surat pada Jumaat lepas.
Menurut Saiful Bukhari, langkah pengunduran diri beliau seumur hidup daripada parti berkenaan dilaksana mengikut Fasal 10.1 Perlembagaan Parti.
“Bahawa saya, Mohd Saiful Bukhari bin Azlan bernombor keahlian 00468423 ingin memaklumkan telah menyampaikan hasrat saya untuk berundur sebagai Ahli Biasa Seumur Hidup PPBM melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, bertarikh pada 22hb April 2022 dan berkuatkuasa hari ini, Isnin, 25hb April 2022. Ia dilaksana menurut Fasal 10.1 Perlembagaan Parti,” katanya menerusi kenyataan mengenai pemakluman pengunduran beliau hari ini.
Mohd Saiful Bukhari berkata, pengunduran diri sebagai ahli Bersatu dibuat atas sebab peribadi.
“Bersatu adalah parti pertama yang saya sertai. Hasrat ini dibuat atas sebab peribadi.
“Sekalung penghargaan buat parti atas kesudian menerima saya selaku ahli awal tahun lalu dan pengalaman yang diberi selaku AJK Komunikasi Strategik Jabatan Penerangan Bersatu (Jun 2021-Kini) dan Ketua Unit Penyelidikan, Pemuda Perikatan Nasional bagi tempoh Mei 2021-Okt 2021,” katanya.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada sahabat-sahabat di dalam parti itu.
https://malaysiagazette.com/2022/04/25/saiful-bukhari-umum-undur-diri-daripada-bersatu/