PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pemimpin parti itu supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh memberi gambaran negatif terhadap parti.
Beliau turut mengingatkan kepada pemimpin atau ahli parti itu agar jangan cuba menguji kesabarannya dengan melakukan perkara boleh memecah-belahkan parti berkenaan.
“Orang kata Anwar ni sabar sangat, kata (Datuk Seri) Shamsul Iskandar (Mohd Akin) kesabaran Anwar ni tahap dewa….(tapi) jangan uji (kesabaran) saya.
“Saya sabar sebab saya fikir semua ada hak beri pandangan, tapi (jika) sebab kesabaran itu sampai beri gambaran parti pecah, parti lemah, saya tidak boleh (sabar lagi),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen PKR Perak di Dewan Jubli Perak di Kuala Kangsar, malam tadi.
Anwar berkata, sebagai presiden parti, tanggungjawabnya untuk membina dan mengukuhkan parti serta menunjukkan kekuatan itu kepada rakyat dan pihak lawan.
Beliau yakin persepsi seolah-olah parti itu berpecah akan dapat ditangkis apabila konvensyen peringkat kebangsaan diadakan di Melaka hujung minggu ini.
Katanya, ia kerana dijangka perwakilan dan ahli daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang dari seluruh negara akan hadir, sekali gus menunjukkan PKR sekarang lebih kuat dan teguh berbanding sebelum ini.
Sementara itu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata ahli akar umbi masih kuat menyokong Anwar manakala yang menimbulkan masalah hanya segelintir pemimpin.
Katanya, ia dibuktikan menerusi konvensyen PKR negeri itu apabila lebih 4,000 perwakilan daripada semua Cabang menghadirinya.