BANGKOK: Sebuah pondok yang dijadikan sebagai markas kumpulan ajaram sesat diserbu polis, penduduk setempat dan media di daerah Isaan di wilayah Chaiyaphum.
Serbuan itu dibuat selepas seorang daripada bekas anggota kumpulan itu memaklumkan ketua ajaran sesat berkenaan mengurung sejumlah pengikut dan memaksa mereka makan najis manusia.
Media Thailand melaporkan, sebanyak 11 mayat yang tidak dikenal pasti identiti ditemukan di dalam pondok tersebut dan ketua kumpulan itu memaklumkan, kesemua mayat berkenaan ‘menunggu untuk masuk syurga’.
Seorang pempengaruh media sosial terkenal Thailand, Mor Pla sebelum ini mendapat aduan daripada bekas pengikut ajaran sesat itu mengenai amalan salah kumpulan terbabit.
Bekas pengikut yang berusia 53 tahun itu menceritakan, dia dan ibunya yang berumur 80 tahun dipengaruhi beberapa ketua dalam kumpulan itu untuk makan najis mereka yang disifatkan ‘suci’.
Selain itu, mereka juag diarahkan minum air kencing, makan kulit ular, air liur dan puntung rokok dengan alasan mampu mengubati penyakit kronik.
Mangsa memaklumkan ibunya tinggal di pondok tersebut selama setahun sebelum tidak tahan melihat sikap ibunya dan membuat laporan polis.
Biarpun menyedari ada sejumlah mayat di dalam pondok tersebut, kebanyakan pengikut ajaran sesat itu mendakwa mereka sedikit pun tidak menghidu bau busuk, malah menyifatkan bauan yang muncul wangi seperti bunga melur.
Dalam pada itu, selepas ditahan, ketua ajaran sesat itu mendakwa dia tidak pernah mempengaruhi atau memaksa pengikutnya makan najis atau melakukan perkara yang bertentangan.
Sebaliknya menegaskan pengikutnya melakukan kesemua perkara tersebut kerana mereka mempercayai ‘kuasa yang dimilikinya’.
Polis Thailand serbu markas ajaran sesat, pengikut dipaksa makan najis