Hot! Rafizi dedahkan ‘jerung besar’, namakan isteri menteri

Selepas mengumumkan akan mendedahkan “jerung besar” dalam kes kapal tempur pesisir (LCS) semalam, Rafizi Ramli hari ini menamakan seorang isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad.

Latiff ialah timbalan menteri pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Dia meninggalkan Umno selepas pilihan raya umum 2018 dan memilih Bersatu.

Dalam kenyataannya sebentar tadi, Rafizi mendakwa “syarikat palsu” yang menerima bayaran daripada projek LCS dimiliki oleh salah seorang isteri Latiff.

Katanya, perkara itu didedahkan dalam pangkalan data dokumen bocor Paradise Papers dan dalam laporan siasatan dalaman projek LCS.

Rafizi Ramli

Laporan keseluruhan siasatan dalaman itu tidak dikongsi dengan pihak media buat masa ini.

Sementara itu, Rafizi berkata dia berharap pendedahannya dapat menutup mulut Umno dan BN daripada “cuba menyalahkan pesara-pesara tentera laut apabila skandal ini meletup”.

“Skandal sebesar ini tidak boleh berlaku tanpa ada dalang dari kalangan pimpinan Umno yang membuat keputusan-keputusan besar pada ketika itu, sedangkan pesara-pesara tentera laut hanya bersubahat melaksanakan penyelewengan,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan Latiff dan isterinya.

Nama isterinya tidak disebut buat masa ini sementara menunggu maklum balasnya.

https://www.malaysiakini.com/news/632952

Terkini

Berita Berkaitan