Hebat! Usaha sedang dibuat agar Jemaah Menteri Anwar tak tahan lama, kata Shahidan

Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim mendakwa usaha sedang dibuat bagi memastikan Jemaah Menteri Anwar Ibrahim tidak bertahan lama, serta Perikatan Nasional (PN) akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat.

“Kita bersyukur, petanda yang baik sekarang ini ialah sokongan kepada PN luar biasa. Saya ucap tahniah kepada barisan Kabinet Anwar. Kita redalah apa yang berlaku.

“Jadi kami sedang berusaha supaya Kabinet ini tidak tahan lama dan insya Allah kami yang akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat.

“Parti yang menang besar ialah anggota daripada PN, iaitu PAS,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Anwar memimpin kerajaan perpaduan terdiri daripada PH yang memenangi 82 kerusi, diikuti Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (6) serta parti lain dengan keseluruhan kekuatan kini hampir mencecah 2/3 Ahli Parlimen.

Sementara itu, Shahidan berkata, Jemaah Menteri yang diumumkan Anwar dua hari lalu terdiri daripada mereka yang tiada pengalaman dan kurang kepakaran.

“Itu sebab mereka terpaksa lantik orang kalah untuk jadi menteri. Padahal orang kalah ini orang yang sudah tidak dapat kepercayaan rakyat, tidak wajar memimpin lagi. Dia jadi pengikut sudahlah ataupun jadi senator biasa.

“Ahli Parlimen ramai yang hebat, tetapi tak dilantik, di kalangan Umno dan DAP, untuk menerajui kementerian-kementerian penting. Tapi mungkin dia (Anwar) anggap mereka ini tidak pandai ataupun tidak pakar hingga terpaksa lantik mereka yang kalah,” kata bekas pemimpin Umno itu.

Shahidan juga menyifatkan pelantikan empat menteri daripada kalangan senator sebagai tidak wajar.

“Saya tengok kawan-kawan dalam kalangan Umno itu, kasihan mereka. Tapi jangan bimbang kalau mereka tak dipercayai, datanglah kepada PN. Kami akan percayakan mereka.”

FMT

Terkini

Berita Berkaitan