Hakim Nazlan sedang disiasat SPRM

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang disiasat berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka selepas laporan dibuat.

“Ya, kami telah memulakan siasatan kami. Prosedurnya adalah untuk menyiasat apabila laporan telah dibuat secara rasmi.

“Kami membuka kertas siasatan kerana ada laporan dibuat, bukan kerana tuntutan dibuat di portal atau media sosial,” katanya menurut The Star,

Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan sama ada pegawainya akan mencari dokumen atau akan memanggil individu untuk disoal siasat.

”Siasatan masih di peringkat awal. Pegawai saya akan membuat keputusan semasa siasatan dijalankan,” katanya.

Artikel bertarikh 20 April yang diterbitkan oleh sebuah blog mendakwa Mohd Nazlan sedang disiasat kerana RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Artikel itu mendakwa wang itu masuk semasa Mohd Nazlan menjadi peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank.

Mohd Nazlan membuat laporan polis terhadap blog itu pada Khamis, menafikan tuduhan yang didakwa berniat jahat, tidak berasas dan bertujuan mencemarkan kredibilitinya sebagai hakim.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia berkata, laporan polis telah dibuat supaya siasatan dapat dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta peruntukan lain yang berkaitan. – MalaysiaGazette

Hakim Nazlan sedang disiasat SPRM

Terkini

Berita Berkaitan