Getir sudah berakhir, ekonomi akan kembali kukuh akhir tahun, kata Tengku Zafrul

Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilakukan secara sistematik dan rancangan pemulihan ekonomi negara yang menerapkan pematuhan ketat SOP akan menjadi kunci utama untuk memacu Malaysia kembali ke landasan, menjadikan ia lebih kukuh menjelang akhir 2021, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata berdasarkan kepada data semasa, KDNK beransur-ansur menunjukkan tanda-tanda pemulihan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020.

“Kita mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa situasi buruk yang dialami telah berakhir. Saya pasti Malaysia akan muncul untuk kembali kukuh pada akhir tahun ini,” kata beliau kepada Bernama.

Tengku Zafrul berkata sektor ekonomi yang dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan kepada pematuhan ketat SOP meliputi 93% daripada ekonomi semasa PKP 2.0 dan ini mengakibatkan kerugian output sebanyak RM300 juta setiap hari berbanding RM2.4 bilion sehari semasa PKP 1.0.

Beliau juga berkata empat pakej rangsangan ekonomi berjumlah sehingga RM305 bilion, atau lebih daripada 20% KDNK, berserta pembukaan semula ekonomi secara berperingkat sejak awal Mei 2020 menyokong KDNK 2020 sekitar empat mata peratusan.

Ini juga menyumbang kepada 24% peningkatan dalam KDNK daripada RM289.4 bilion pada suku kedua 2020 kepada RM357.4 bilion pada suku ke-4 2020.

Selain itu, Belanjawan 2021 yang dibentangkan tahun lepas bersama dengan pakej bantuan PERMAI akan melengkapkan lagi pemulihan ekonomi Malaysia dan mengurangi implikasi daripada langkah-langkah membendung penularan Covid-19.

“Tambahan pula, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Malaysia yang dimulakan sejak akhir Feb 2021 akan menyokong pembukaan semula ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan kita. Ini akan disokong oleh pemulihan kukuh dalam perdagangan global dan harga minyak mentah yang lebih tinggi,” jelas Tengku Zafrul.

Kementerian menyasarkan defisit kepada kurang daripada 6.2% daripada KDNK untuk 2021. Bagaimanapun, ia bergantung kepada seberapa cepat ekonomi pulih dan fokus kerajaan menyokong sektor-sektor tertentu bagi mengembangkan ekonomi tempatan.

Defisit negara meningkat kepada 6.2% daripada KDNK pada 2020 daripada 3.4% pada 2019.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut menggalakkan semua rakyat untuk mendaftar program vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera atau laman web rasmi seperti yang diiklankan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19.

“Adalah sangat penting bagi negara untuk mencapai imuniti kawanan secepat mungkin bagi memastikan pemulihan ekonomi sepenuhnya dicapai termasuk sektor yang paling teruk terjejas seperti pelancongan, peruncitan dan penerbangan.”

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata keputusan Bank Negara untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75% pada mesyuarat dasar monetarinya baru-baru ini akan membantu meringankan aliran tunai individu dan perniagaan, mendorong perbelanjaan pengguna dan memacu lebih banyak aktiviti pinjaman oleh institusi kewangan.

“Ini akan memberikan dorongan kepada pertumbuhan ekonomi kita serta melengkapkan langkah-langkah fiskal kerajaan dalam memastikan pemulihan ekonomi yang berterusan.”

Kementerian Kewangan melancarkan laporan mengenai satu tahun pencapaiannya bersempena dengan ulang tahun tahun pertama kerajaan Perikatan Nasional.

Dalam laporan berkenaan, Tengku Zafrul berkata pandemik mengakibatkan kesan sosioekonomi yang belum pernah dialami oleh Malaysia dengan risiko besar kepada kesihatan awam dan kerugian kira-kira RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi semasa PKP 1.0.

“Bagi menangani pandemik ini, kerajaan menyusun strategi 6R, merangkumi enam tahap iaitu Ketegasan (Resolve), Ketahanan (Resilient), Memulakan Semula (Restart), Pemulihan (Recovery), Memperkasa (Revitalise), dan Menyusun Semula (Reform).

“Pelaksanaan pelbagai jenis inisiatif termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN disokong oleh penggunaan data semasa, yang memungkinkan intervensi dan penyelarasan segera untuk memastikan penyampaian yang berkesan,” ujar beliau.

PKP 1.0 menyebabkan penguncupan KDNK sebanyak 17.1% pada suku kedua.

Bagaimanapun, hasil tindakan pantas kerajaan membuahkan hasil positif apabila ekonomi akhirnya mencatatkan kadar penyusutan yang lebih rendah iaitu 5.6% bagi 2020.

Langkah-langkah berkenaan turut membantu menurunkan kadar pengganguran daripada 5.3% (Mei 2020) kepada 4.8% (Disember 2020).

“Namun, masih banyak yang perlu dilaksanakan. Belanjawan 2021 dan Pakej Bantuan PERMAI akan menyokong. Saya juga yakin bahawa 80% rakyat dijangka akan mendapat vaksin menjelang awal 2022 yang akan membantu mendorong pemulihan ekonomi.

“Sementara itu, Kementerian Kewangan dan LAKSANA akan terus memastikan semua inisiatif dilaksanakan dan dipantau dengan sempurna agar rakyat dan negara kita mampu pulih dan muncul lebih berdaya tahan daripada sebelumnya,” kata Tengku Zafrul.

Pada 16 Mac 2020, Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) dibentuk untuk memantau pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/08/getir-sudah-berakhir-ekonomi-akan-kembali-kukuh-akhir-tahun-kata-tengku-zafrul/

Terkini

Berita Berkaitan