GEMPAR TERUK!! Bagaimana Daim, orang kaya Malaysia guna Singapura simpan duit di luar negara -Malaysiakini

Ketika kebanyakan kanak-kanak lelaki memiliki peranti dan alat permainan, anak kepada Daim Zainudddin menjadi pemilik firma Kepulauan Virgin Britain pada usia sembilan dan 12 tahun.

Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim lahir pada tahun 1995 dan 1998 masing-masing menjadi pemegang saham Newton Invest & Finance Limited (BVI) pada tahun 2007, yang memiliki hartanah di London bernilai GBP10 juta waktu itu.

Menurut dokumen yang diperoleh oleh Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) dan dilihat oleh Malaysiakini, mereka ialah pemegang saham bersama dengan ibu mereka, Naimah Abdul Khalid, yang merupakan isteri ketiga bekas menteri kewangan itu.

Menjelang tahun 2017, ketika adik beradik ini menjangkau usia awal dua puluhan, mereka menjadi pemilik beberapa syarikat luar pesisir yang ditubuhkan di tempat perlindungan cukai itu, termasuk Splendid International Ltd (BVI) yang memiliki hartanah London bernilai GBP12 juta (kira-kira RM65 juta pada kadar pertukaran 2017).

Newton Invest & Finance Limited (BVI) dan Splendid International (BVI) adalah antara senarai firma pemegang amanah dan syarikat berkaitan dengan Daim yang diperbadankan di tempat perlindungan cukai berkenaan.

Ini didedahkan Pandora Papers, kumpulan dokumen yang diperoleh ICIJ dan dilihat oleh Malaysiakini.

Sumber tanpa nama berkongsi maklumat fail kewangan sulit dengan ICIJ sebesar 2.94 terabyte, berjumlah lebih 11.9 juta dokumen dan rekod lain, daripada 14 penyedia perkhidmatan firma luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat shell dan pemegang amanah di ‘syurga perlindungan cukai’ di seluruh dunia.

Syarikat shell ialah firma atau perbadanan yang hanya ada di atas kertas tetapi mungkin mempunyai akaun bank atau mungkin mengadakan pelaburan pasif atau menjadi pemilik aset yang berdaftar.

Memiliki akaun, syarikat atau firma pemegang amanah luar pesisir, bagaimanapun, tidak semestinya seseorang itu terlibat dalam urus niaga haram dan tidak sah untuk menubuhkan entiti luar pesisir.

Dikenali sebagai bapa korporat Malaysia, yang memiliki pengaruh besar dalam bidang politik, Daim setakat ini belum masuk dalam senarai Forbes 50 orang paling kaya di Malaysia.

Ini mungkin kerana urusan perniagaannya sering menjadi misteri, dengan pemerhati korporat kadang-kadang meneliti pegangannya melalui aktiviti melibatkan ahli keluarga terdekatnya atau rakan perniagaan yang dikenali.

Salah seorang rakan Daim ialah Josephine Premla Sevaretnam, bekas peguam dan timbalan pendakwa raya, yang pernah berkhidmat bersama Daim, sebelum memegang jawatan penting dalam pelbagai syarikat.

Ini termasuklah bank Switzerland ICB Banking Group, yang dimiliki oleh Daim sebanyak 74.4 peratus, ketika disenaraikan di London Investment Investment Market pada tahun 2007.

Nama Josephine muncul lagi di Newton Invest & Finance Limited (BVI) dan Splendid International Ltd (BVI) sebagai pengurus perniagaan, yang berpusat di Bryanston Square, London.

Bryanston Square merupakan dataran taman seluas 800 kaki darab 200 kaki di Marylebone, London menjadi alamat yang muncul berkali-kali dalam carian yang melibatkan anak-anak Daim dan harta benda atau syarikat di London.

Sebagai contoh, anak perempuannya yang berpangkalan di Switzerland Aslinda Daim-Pan, yang mengambil nama keluarga suaminya merupakan pengarah syarikat Britain 8 Bryanston Square Freehold Limited, menurut pendaftar syarikat UK Companies House. Syarikat “pengurusan hartanah” itu, bagaimanapun, hanya memiliki aset GBP5, menurut pemfailan terakhirnya.

Sebuah pangsapuri tiga bilik seluas 1500 kaki persegi di Bryanston Square, London dijual dengan harga lebih dari GBP3 juta, seperti yang ditunjukkan oleh senarai hartanah.

Selain dua syarikat BVI itu, kedua-dua anak Daim tadi, yang kini berusia awal hingga pertengahan dua puluhan, dan ibu mereka juga merupakan pemegang saham di beberapa syarikat luar pesisir lain yang memiliki hartanah di London.

Dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini menyatakan syarikat tersebut adalah syarikat pelaburan atau syarikat pengurusan hatanah, dengan hartanah berkenaan memperoleh pendapatan sewa dan dibeli melalui pinjaman daripada bank Barclays di Knightsbridge, London.

Dalam Pandora Papers sahaja, syarikat dan firma pemegang amanah yang dimiliki oleh anak-anak, isteri atau rakan perniagaan Daim bersama-sama memegang aset bernilai sekurang-kurangnya GPP25 juta (kira-kira RM141 juta).

Ketika dihubungi, Daim berkata semua cukai telah dibayar sepenuhnya di setiap tempat (jurisdiction) di mana dia menjalankan perniagaan dan meraih pendapatan.

Dia berkata, tidak semua firma pemegang amanah yang dikaitkan dengannya dalam Pandora Papers adalah miliknya dan sebahagiannya adalah milik anak-anaknya dan dia tiada pengetahuan mahupun kawalan terhadapnya.

“Saya sudah bersara daripada perniagaan sudah agak lama, dan pemegang amanah adalah sebahagian daripada perancangan harta pusaka,” katanya lagi.

Baca selanjutnya….. https://www.malaysiakini.com/news/593928

Terkini

Berita Berkaitan