Fuhh!! Saya cuma tawarkan Jho Low sup masa dia sakit – Bekas jurubank Najib

KES 1MDB | Bekas jurubank kepada Najib Razak memberi keterangan bahawa dia pernah menawarkan untuk memasak sup kepada ahli perniagaan dalam buruan yang dikaitkan skandal 1MDB Low Taek Jho (Jho Low) ketika dia jatuh sakit.

Bagaimanapun, bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu menafikan bahawa ini menjejaskan keupayaannya untuk bertindak secara objektif dengan pelanggannya Low.

Saksi pendakwaan ke-41 itu memberi keterangan lisan semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion petang ini terhadap bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan itu.

Peguam bela utama tertuduh Muhammad Shafee Abdullah menyoal balas Yu mengenai sifat hubungannya dengan Low, yang dikenalinya dua tahun sebelum penubuhan 1MDB, dengan firma terdahulu Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2009.

Pada prosiding sebelum ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Yu memberi keterangan bahawa dia rapat dengan Low dalam kapasiti profesional berkaitan perjanjian pinjaman bank dengan sebuah syarikat bernama Majestic Masterpiece Sdn Bhd.

Dia memberitahu mahkamah dia pernah mengunjungi Low di apartmen mewahnya di 8 Kia Peng di Kuala Lumpur.

Semasa pemeriksaan balas di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah hari ini, Shafee menyoal Yu kenapa dia perlu mengunjungi Low di pangsapuri ahli perniagaan itu, dengan alasan dia boleh saja mengatur untuk bertemu Low di pejabatnya di AmBank.

Yu memberi keterangan bahawa dia mengunjungi Low di pangsapuri 8 Kia Peng kerana ahli perniagaan itu didakwa mengelak cubaan bank untuk mendapatkan bayaran balik pinjaman daripadanya berhubung perjanjian pinjaman Majestic Masterpiece.

Yu mendakwa pinjaman itu telah tertunggak tetapi Low sentiasa berada di luar negara dan kebanyakan masa enggan bertemu dia dan pasukannya untuk menyelesaikan pembayaran balik.

Shafee kemudian membuat rujukan kepada transkrip BlackBerry Messenger (BBM) yang didakwa antara Yu dan Low.

Shafee: Itu tidak benar. Ada ketika semasa Jho Low sakit, dan kamu masakkan makanan untuk dia.

Yu: Itu tidak betul. Saya cuma menawarkan makanan ketika dia sakit.

Shafee: Tiada bank pernah menawarkan saya perkara itu, dan saya tinggal di sebelah bank itu.

Yu: Mungkin itu naluri keibuan saya.

Shafee: Adakah wajar anda menawarkan sup kepada pelanggan anda?

Yu: Tidak ada niat untuk apa-apa.

Shafee: Ini sesuai ke?

Yu: Saya akan membantu sesiapa sahaja.

Apabila Sequerah bertanya apakah tujuan pemeriksaan balas ini, Shafee menegaskan pasukan pembelaan ingin mengetengahkan pertikaian bahawa beberapa kesalahan berkaitan 1MDB dibenarkan berlaku kerana objektiviti dikompromi daripada pihak bank.

Shafee juga menyoal Yu jika dia membenarkan dirinya untuk mendekati ahli perniagaan itu sehingga dia kehilangan penilaian objektif terhadap situasi tersebut.

Yu bagaimanapun dia menafikan perkara yang dicadangkan peguam Najib itu.

Yu juga menafikan dakwaan Shafee bahawa dia dan bank menerima faedah yang tidak wajar daripada didakwa terlibat dalam pengaturan yang menyaksikan TIA kerugian dalam transaksi kewangan pada 2009.

Sebelum ini, semasa prosiding perbicaraan pada 2019, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa syarikat-syarikat berkaitan Low membuat keuntungan atas angin kira-kira RM83 juta hanya dalam masa beberapa hari.

Keuntungan itu, kata Shahrol diraih apabila syarikat berkenaan melanggan bon 1MDB dengan harga diskaun sebelum menjualnya semula dengan nilai muka (face value, atau nilai di atas kertas).

Saksi kesembilan perbicaraan mendakwa Aktis Capital Singapore Pte Ltd dan Country Group Securities Pcl, firma yang dipercayai berkait dengan Low membuat perjanjian dengan Ambank untuk membeli Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB berjumlah RM700 juta dengan harga diskaun 12 peratus iaitu kira-kira RM617 juta pada tahun 2009.

Shahrol (gambar, bawah) ketika itu juga mengakui bahawa 1MDB adalah antara pihak yang rugi akibat daripada perjanjian itu dengan Aktis Capital.

1MDB, yang ketika itu masih lagi dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA), menerima 12 peratus kurang hasil daripada bon bernilai RM5 bilion yang diterbitkan kerana diskaun 12 peratus.

Prosiding bicara kes 1MDB di hadapan hakim Sequerah dijadualkan bersambung pagi esok.

Yu merupakan salah seorang saksi pendakwaan utama semasa perbicaraan rasuah SRC International RM42 juta Najib sebelum ini. Perbualan BBM antara dia dan Low turut dibangkitkan semasa perbicaraan itu.

Semasa perbicaraan SRC, peguam Najib menyoal balasnya selama beberapa minggu dan pada satu ketika, Yu dilaporkan menangis ketika berada di kandang saksi.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes SRC, dengan dia dibawa ke mahkamah oleh pihak berkuasa Penjara Kajang untuk menghadiri pelbagai perbicaraan jenayahnya yang sedang berlangsung, termasuk kes 1MDB.

Berhubung perbicaraan 1MDB yang sedang dijalankan terhadap Najib, Yu memberi keterangan antara lain bahawa dia telah diperkenalkan dengan ahli perniagaan dalam buruan yang berkaitan dengan 1MDB Low Taek Jho (Jho Low) dua tahun sebelum syarikat (Terengganu Investment Authority atau TIA) ditubuhkan pada 2009.

Yu juga memberi keterangan bahawa dia tidak pernah bertemu tertuduh secara langsung berhubung urusan akaun banknya, dan Low mahu beberapa surat yang dikatakan daripada Arab dirahsiakan.

Surat-surat Arab yang didakwa itu merujuk kepada beberapa dokumen yang kononnya menjadi sandaran Najib untuk membuktikan pertikaian bahawa bangsawan kerajaan Timur Tengah menjanjikan derma kepadanya.

Pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram.

Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Malaysiakini

Terkini

Berita Berkaitan