Dunia bakal bergolak!! Rusia sah serang Ukraine besar-besaran

KYIV: Kementerian Luar Ukraine mendakwa Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran terhadap negara ini dan menyasarkan beberapa bandar dengan serangan senjata, termasuk letupan.

Menterinya, Dmytro Kuleba berkata, negara itu akhirnya memilih jalan untuk menyerang Ukraine biarpun sudah pelbagai perkara dilakukan untuk mencegah situasi itu.

“Ukraine yang aman kini diserang dan kami akan mempertahankan negara ini sehingga darah terakhir.

“Dunia boleh bantu hentikan Vladimir Putin, sudah tiba masanya anda bertindak,” kata Kuleba menerusi Twitter.

Agensi berita Interfax Ukraine melaporkan, beberapa serangan roket berlaku di pusat ketenteraan di seluruh negara itu.

Pasukan tentera Rusia juga dilaporkan sudah mendarat di bandar pelabuhan Odessa di selatan Ukraine.

Sebelum ini, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan tentera Rusia yang berada di dua wilayah tersebut. Dan bersedia menentang ancaman sekatan Barat dalam satu langkah yang boleh mencetuskan peperangan.

Menerusi dua dekri rasmi, Putin mengarahkan Kementerian Pertahanan melaksanakan ‘fungsi pengaman’ di wilayah yang dikuasai puak pemisah.

Bagaimanapun, negara Barat tidak menganggap tindakan itu sebagai ‘langkah pengaman’, sebaliknya melihat krisis antara Rusia dan Ukraine sudah sampai ke kemuncak.

Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) berjanji akan mengenakan sekatan dengan pakej hukuman ekonomi lebih luas sekiranya pencerobohan benar-benar terjadi.

Ketika berita pengiktirafan itu mula bertebaran sejak lewat malam kelmarin, ramai penduduk yang tidak percaya tetapi bersedia mempertahankan negara sekiranya diarahkan. – AFP

Terkini

Berita Berkaitan