Dashyat!! Penduduk Thailand dibenarkan hisap ganja di rumah

BANGKOK – Polis Thailand tidak akan menangkap individu yang menghisap ganja di rumah, lapor akhbar Bangkok Post hari ini.

Bermula hari ini, penduduk Thailand juga dibenarkan menanam pokok ganja di rumah mereka, malah tumbuhan itu  tidak lagi dianggap sebagai bahan terlarang.

Ini bermaksud penghasilan, import, eksport, pengedaran, pengambilan dan pemilikan ganja akan menjadi sah di sisi undang-undang Thailand.

Bagaimanapun, Timbalan Komisioner Polis dan Pengarah Biro Pembanterasan Narkotik, Jeneral Polis Roy Ingkapairote berkata, mereka yang menghisap ganja di kawasan terbuka dan mengganggu ketenteraman awam akan berdepan hukuman.

Ekoran undang-undang terbaharu itu juga, lebih 4,200 banduan yang dihukum penjara atas kesalahan berkaitan ganja akan dibebaskan, kata Roy.

“Kes-kes berkaitan ganja yang masih menanti siasatan  juga akan ditutup, manakala sebarang waran tangkap yang dikeluarkan ke atas kesalahan penggunaan ganja akan dibatalkan,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Kementerian Kesihatan Awam Thailand, Kiattiphum Wongrajit berkata, kerajaan sedar bahawa penyalahgunaan tanaman ganja boleh membawa kepada peningkatan bilangan penagih dadah.

“Sebilangan orang mungkin akan mengambil ganja secara berlebihan atau mencampurkannya dengan bahan narkotik lain.

“Justeru itu, pihak kementerian akan membangunkan satu sistem bagi memantau mereka yang mungkin menghidap masalah mental yang disebabkan oleh penyalahgunaan ganja.

“Kami akan menubuhkan pasukan psikiatri di setiap wilayah untuk membantu individu-individu tersebut. Sebuah pasukan lain juga akan diwujudkan bagi memantau kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh penggunaan dadah,” ujarnya.

Kerajaan Thailand sebelum ini mengumumkan bahawa penduduk negara itu dibenarkan menanam pokok ganja di rumah, namun mereka perlu meminta kebenaran pihak berkuasa sebelum bertindak demikian. – Agensi

Terkini

Berita Berkaitan