Pandangan yang dibuat seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa gabungan itu diramal tewas dua pusingan pilihan raya terlebih dahulu sebelum ke Putrajaya hanya akan melemahkan semangat ahli, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Loke berkata, parti bawah gabungan PH sebaliknya perlu menyemat keinginan menyertai PRU kerana ingin menang dan “bukan mengalah sebelum masuk gelanggang”.
“Saya kata saya tak setuju pandangan kena tunggu 10 tahun… Kalau begitu (umpama) bagi jalan sahaja pada BN.
“Jadi PH kena ada semangat menang walau ada kesukaran walau ada cabaran tapi kena hadapi. Bukan kata masuk gelanggang, kata kali ni takkan menang. Nanti ahli pun tak ada semangat nak lawan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Sepetang bersama Setiausaha Agung DAP di Batu Caves malam ini.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, Loke dipercayai merujuk kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar yang berkata, PH diramalkan tewas pada dua lagi pusingan pilihan raya umum (PRU) sebelum menguasai Putrajaya.
Menerusi temu bual bersama Sinar Harian, Nurul Izzah dipetik berkata, ia mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat, masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan.
Terdahulu, dalam ucapannya di hadapan 230 pemimpin dan ahli DAP berbangsa India, ahli Parlimen Seremban itu berkata, DAP akan berjuang habis-habisan dan bukan hanya menunggu 10 tahun.
Sementara itu, Loke ketika ditanya mengenai calon perdana menteri DAP seperti dilakukan Umno yang menamakan Ismail Sabri serta Bersatu yang mencadangkan Muhyiddin Yassin berkata, keputusan mengenai perkara itu hanya boleh ditentukan secara bersama dalam PH.
“Siapa nak namakan calon perdana menteri tu hak masing-masing, DAP dah tentunya dalam PH. Apa-apa keputusan mestilah dibuat secara bersama dalam PH,” katanya.
Pada Ogos 2021, PH hanya menamakan satu nama sebagai calon perdana menteri iaitu Presiden PKR Anwar Ibrahim bagi mengelakkan kekeliruan.