Covid-19: WHO luluskan vaksin Sinopharm

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinopharm sebagai kegunaan kecemasan.

Ia merupakan vaksin pertama dibangunkan oleh negara bukan barat yang mendapat kelulusan daripada WHO.

Lapor BBC, vaksin yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal China itu telah diberikan kepada jutaan penduduk di China dan beberapa negara.

Sebelum ini, WHO meluluskan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson (J&J) dan Moderna.

Namun, beberapa pengendali ubat-ubatan terutamanya di negara-negara miskin seperti di Afrika, Amerika Utara dan Asia sudah meluluskan vaksin dari China bagi kegunaan kecemasan.

Dengan hanya sedikit data didedahkan, keberkesanan vaksin keluaran syarikat farmaseutikal China tidak dapat dipastikan.

Namun, WHO memberitahu bahawa pihaknya sudah mengesahkan keselamatan, keberkesanan dan kualiti vaksin Sinopharm.

Kata WHO, penambahan vaksin itu berpotensi mempercepatkan akses vaksin Covid-19 bagi negara-negara yang memerlukan untuk melindungi golongan berisiko.

Ia mengesyorkan agar vaksin itu diberikan dalam dua dos suntikan kepada individu yang berumur 18 tahun ke atas.

Satu keputusan dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat berhubung sebuah lagi vaksin Covid-19 dari Sinovac.

Vaksin Sputnik dibangunkan Rusia masih lagi dalam peringkat penilaian. – AGENSI

Terkini

Berita Berkaitan