Kota Bharu: Satu kluster baharu iaitu Kluster Danan membabitkan sebuah sekolah dan sebuah tadika dikesan di Kelantan semalam dengan merekodkan 17 kes positif Covid-19 di Kampung Danan, di Pasir Puteh.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, penularan kluster berkenaan bermula di tempat kerja.
Katanya, kes indeks kluster berkenaan membabitkan seorang guru yang dikesan melalui saringan bergejala.
“Sehingga semalam, seramai 17 kes dikesan dalam kluster ini yang membabitkan sebuah sekolah dan sebuah tadika.
“Pihak pengurusan sekolah perlu memastikan kepatuhan warga sekolah terhadap prosedur operasi standard (SOP) sekolah adalah di tahap yang tinggi bagi memastikan persekitaran sekolah adalah selamat dari penularan Covid-19.
“Saringan suhu badan dan gejala, pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal adalah elemen penting dalam menggelakkan penularan Covid-19 di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau turut meminta masyarakat mengambil berat akan keselamatan diri dan persekitaran.
Katanya, bulan Ramadan juga semakin menghampiri, namun negara ini masih belum bebas sepenuhnya daripada Covid-19.
Kelantan semalam merekodkan 18 kes baharu Covid-19 iaitu menyaksikan penurunan berbanding kelmarin 68 kes.
HM