Aktiviti sosial bakal kembali aktif selepas 50 peratus rakyat divaksin . Kadar 50 peratus rakyat yang sudah melengkapkan dos vaksin Covid-19 sudah memadai untuk Malaysia membuka kembali aktiviti sosial.
Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, ia kerana laporan menunjukkan bahawa negara yang sudah mencapai tahap imunisasi lebih 50 peratus, populasinya mencatat pengurangan kes pandemik ketara.
“Pada saya, 50 peratus lengkap dos vaksin sudah memadai. Kalau kita tengok apa yang berlaku di beberapa negara di Eropah ketika ini mereka hanya dalam sekitar 40 hingga 50 peratus yang sudah lengkapkan dos vaksin.
“Tapi kalau kita lihat mereka sudah kembali melakukan aktiviti seperti biasa antaranya menonton bola di stadium, kelab malam dan aktiviti sosial lain telah dibuka.
“Ia kerana mereka percaya bahawa 40 hingga 50 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat yang sudah melengkapkan dos vaksin adalah cukup untuk mereka mulakan aktiviti sosial,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Katanya, langkah itu perlu bagi membolehkan jangkitan melibatkan kelompok yang menjadi antara penyumbang utama kes pandemik itu dapat dikawal dengan sebaiknya.
Sementara itu, ditanya mengenai bila Malaysia mampu mencapai 50 peratus rakyat melengkapkan dos vaksin Covid-19 itu, beliau menjangkakan awal September ini.
Katanya, jangkaan itu berpandukan kepada jaminan kerajaan untuk memberikan sekurang-kurangnya 300,000 suntikan vaksin sehari.
“Kita boleh capai 50 peratus (rakyat melengkapkan dos vaksin) dalam awal September. Itu jangkaan saya berdasarkan janji yang dibuat oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini.
“Sekarang ini pun kalau kita lihat jumlah vaksin yang sampai ke negara kita pun semakin meningkat selain negara pengeluar juga turut meningkatkan pengeluaran vaksin. Jadi ini antara faktor yang akan membantu mempercepatkan lagi proses vaksinasi,” katanya.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/150293/BERITA/Nasional/Tunggu-50-peratus-rakyat-lengkap-dos-vaksin