Boleh berambus kata penunjuk perasaan terhadap Benjamin Netanyahu

BAITULMUQADDIS: ‘Berambus, cukup-cukuplah’.

Demikian laungan beribu-ribu penunjuk perasaan warga Israel yang berterusan me­ngadakan demonstrasi bantahan terhadap Benjamin Netanyahu di depan kediaman rasmi Perdana Menteri itu dekat sini.

Arab News melaporkan, mereka menuntut Netanyahu meletak jawatan di sebalik usaha pemimpin itu mendapatkan sokongan negara-negara Arab bagi mewujudkan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.

Terbaharu, Serbia dan Kosovo ‘merancakkan’ lagi usaha Netanyahu itu bersama Amerika Syarikat (AS) dengan Serbia mengumumkan akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Protes memuncak saban ming­gu ekoran kerajaan dilihat gagal menangani penularan Covid-19 yang semakin meningkat termasuk pengangguran.

Ditambah dengan tuduhan rasuah yang membelenggu Netanyahu, penduduk Yahudi mendesaknya meletak jawatan.

Penunjuk perasaan meme­gang sepanduk tertulis ‘Revolusi’ dan ‘Berambus dari sini’.

Kumpulan kecil penunjuk perasaan juga berhimpun di beberapa kawasan di Tel Aviv menuntut Netanyahu meletak jawatan.

Jumlah kematian akibat Co­vid-19 di Israel melepasi angka 1,000 manakala lebih 26,000 pesakit masih mendapatkan rawatan selepas dijangkiti virus berkenaan.

Sekurang-kurangnya 13 penunjuk perasaan ditahan setakat ini.

Sebagai maklum balas, Ne­tanyahu menepis segala tuduhan yang dilontarkan penunjuk perasaan dan melabelkan mereka ‘puak kiri’ dan ‘anarki’.

Beliau juga berikrar terus mempertahankan jawatannya biarpun berdepan dakwaan ra­suah dan pecah amanah.

Terkini

Berita Berkaitan