BN-PH akan selesai tuntutan kerusi bertindih minggu ini kata MB

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan perbincangan akhir bagi menyelesaikan masalah tuntutan bertindih tiga kerusi di Selangor minggu ini.

“Ada satu perbincangan dalam minggu ini dan ada perbincangan akhir, selepas itu kita akan muktamadkan,” kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Kata Amirudin, dia juga yakin perkara itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi sama ada sebelum atau selepas Aidiladha pada hujung bulan ini.

Amiruddin bercakap kepada pemberita selepas majlis amanat khas perdana menteri kepada penjawat awam Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, hari ini.

PH Selangor dan BN sebelum ini dilaporkan gagal mencapai persetujuan bagi tiga daripada 56 kerusi DUN di negeri itu.

Tiga kerusi itu tidak dinamakan.

Sementara itu, Amirudin yang juga pengerusi PH Selangor yakin pertindihan kerusi itu akan diselesaikan selepas perbincangan kepimpinan pusat parti-parti terlibat.

“Tak akan bertindihlah.

“Sebenarnya, perbincangan ini jauh lebih baik masa zaman Pakatan Rakyat (PR) dulu.

“PR dulu sampai malam (sebelum) pilihan raya pun masih lagi bertindih,” katanya.

PR adalah gabungan terbesar pembangkang dari 2008 hingga 2015 melibatkan PKR, DAP dan PAS.

Gabungan itu dibubarkan selepas PAS mahu bergerak bergerak solo susulan perbezaan pandangan berterusan dengan DAP.

DUN Selangor akan terbubar dengan sendiri pada 25 Jun ini jika tiada sebarang permohonan pembubaran dibuat oleh menteri besar kepada sultan.

Malaysiakini

Terkini

Berita Berkaitan