Saturday, September 23, 2023

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan PH pesan tetapkan SOP konsisten, ringkas untuk beralih ke fasa endemik

Bekas timbalan menteri kesihatan menggesa kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang konsisten dan ringkas, dalam persediaan negara beralih ke fasa endemik Covid-19.

Dr Lee Boon Chye berkata masalah akan timbul sekiranya SOP yang ditetapkan itu tidak jelas atau terlalu rumit.

Ahli Parlimen Gopeng itu memuji kerajaan dengan menetapkan SOP seperti menggalakkan pengudaraan yang baik untuk semua premis perniagaan khususnya restoran dan kawasan yang menjadi tempat orang ramai berhimpun.

Katanya, ia amat penting untuk mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyediakan garis panduan itu.

Dr Lee Boon Chye.

Menurut Lee, walaupun negara sedang membuat perancangan untuk peralihan ke fasa endemik namun ujian secara kerap dan pengesanan secara berkesan harus diteruskan ketika bekalan vaksin tidak mencukupi akibat kehadiran varian baharu.

“Kerajaan juga harus bersiap sedia dengan pilihan untuk melaksanakan sekatan penuh sementara yang lebih berstruktur dan ringkas untuk melandaikan lengkung sekiranya keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.

“Mereka harus memastikan jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICPU) dan alat bantuan pernafasan adalah mencukupi. Jumlah petugas yang mencukupi juga diperlukan khususnya dalam menguruskan mereka yang menjalani kuarantin kendiri di rumah supaya boleh dipantau setiap hari.”

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy berkata strategi jangka panjang bagi menguruskan jangkitan harus dilaksanakan bagi mengelakkan aktiviti harian terganggu.

“Kita berharap tenaga kerja kesihatan ditambah, bermula dengan pelantikan daripada jawatan kontrak ke jawatan tetap. Pandemik menunjukkan betapa pentingnya sumber manusia tenaga kerja penjagaan kesihatan dalam menyelamatkan nyawa dan kehidupan.”

Subramaniam berkata SOP boleh dilonggarkan kepada individu yang lengkap dos vaksin untuk makan di restoran dengan menyediakan pengudaraan yang baik.

Katanya, lanjutan waktu operasi restoran hingga tengah malam juga boleh membantu sektor itu kembali pulih.

Selain itu katanya, kemudahan resort harus dibenarkan beroperasi dengan kendalian kakitangan dan pelanggan yang lengkap dua dos vaksin.

Bagaimanapun, perjalanan rentas negeri boleh dibenarkan hanya selepas lebih ramai penduduk menerima perlindungan vaksin.

Mengenai perjalanan ke luar negara, Subramaniam berkata kerajaan harus mula mengadakan libat urus dengan pelbagai negara lain untuk membuka pintu sempadan kepada pengembara yang lengkap dos vaksin bersama keputusan negatif ujian RT-PCR Covid-19

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa mereka masih perlu mengenakan pelitup muka di tempat awam, mengamalkan penjarakan sosial dan menggunakan cecair sanitasi tangan.

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa empat kementerian akan mengadakan pertemuan tidak lama lagi untuk menyediakan garis panduan SOP sebagai persediaan beralih ke fasa endemik Covid-19.

Katanya, beliau akan bertemu dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Ia susulan pengumuman Khairy minggu lalu bahawa Malaysia akan beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober nanti selain berkata negara harus bersedia menerima konsep hidup bersama virus.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/09/tetapkan-sop-konsisten-ringkas-untuk-beralih-ke-fasa-endemik-kata-bekas-timbalan-menteri-kesihatan/

Berkaitan