KOTA BHARU: “Saya tidak bertanding pun tidak mengapa, asalkan UMNO tak menang,” kata pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa yang baru menyertai PAS.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, jika diberikan mandat untuk bertanding, beliau perlu berbincang dengan pucuk pimpinan PAS, bagi mengetahui tujuan beliau diamanahkan berbuat demikian.
“Kalau tidak, boleh sahaja bagi peluang kepada anak muda atau calon dalam kalangan ahli PAS yang sudah lama dengan parti ini, lagipun, saya masih baru dalam PAS,” katanya ketika ditanya sekiranya beliau diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Beliau ditemui selepas Program Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat Pakat Pertahan ‘PAS Pilihanku’ di dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau seharusnya dijadikan pilihan terakhir sebagai calon PAS untuk bertanding dan beliau menyerahkan urusan penentuan calon kepada pucuk pimpinan dan mengakui tidak kisah jika dia tidak bertanding.
Katanya, dia menyertai PAS bukan sebagai calon semata-mata sebaliknya ikhlas untuk berjuang demi kepentingan agama dan bangsa Melayu.
Terdahulu, Annuar mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana menerima beliau sebagai ahli biasa dan membenarkannya berkhidmat pada parti itu pada akhir hayat kehidupannya pada usia 67 tahun.
“Terima kasih PAS terima saya jadi ahli biasa dan izinkan saya berkhidmat dalam parti ini di akhir-akhir hayat kehidupan saya pada usia 67 tahun,” katanya.
Annuar berkata, beliau tidak boleh berhenti daripada politik walaupun sudah mencuba selama beberapa bulan tanpa berada dalam mana-mana parti.
“Tidak mengapa jadi orang kecil walaupun dahulu saya menjadi orang besar ketika berada dalam UMNO. Saya reda jadi orang kecil kerana perjuangan PAS lebih istiqamah.
“Perjuangan PAS tidak ada yang berselindung dan ternyata dalam hal ini PAS membuktikan mereka parti yang lebih istiqamah.
“Biarlah jadi orang kecil dalam kapal yang besar dan nakhoda yang ramai,” katanya.
Annuar berkata, keputusannya menyertai PAS bukannya perkara mudah memandangkan sudah 50 tahun mengabdikan diri dalam UMNO.
“Sebelum ini saya cuba untuk tidak duduk dalam mana-mana parti. Saya cuba selama enam bulan, namun saya tidak mampu kerana politik sudah sebati dengan saya.
“Akhirnya pada 1 Rejab ketika berada di Makkah, saya menghubungi Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk memaklumkan saya mahu menyertai parti itu.
“Tiada siapa yang suruh saya sertai PAS sebaliknya saya lakukan dari hati yang ikhlas kerana mahu perjuangkan agama dan bangsa serta tanah air,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menawarkan masa dan tenaganya untuk digunakan dalam perjuangan PAS.