Sikap dan cara pemimpin negara, terutama dalam aspek kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir amat dikesali dengan segala kelemahan jelas terpampang.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim meluahkan kekesalan itu selepas mendapati 17 mangsa banjir dilaporkan maut di Selangor dan lapan di Pahang, manakala lebih 60,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Beliau berkata, tindakan lembab kerajaan persekutuan, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), ditambah pula penyelarasan kucar-kacir dengan pihak kerajaan serta agensi tempatan merumitkan krisis ini kepada rakyat dan menjadikan ia satu malapetaka dalam tadbir urus.
“Kelewatan dalam menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memungkinkan beberapa pegawai bertindak dengan inisiatif sendiri dalam membantu mereka yang terkesan.
“Penyelarasan yang lemah antara pasukan sukarelawan dan ATM hanya menambah kekeliruan dan kekecewaan. Krisis ini adalah mimpi buruk yang nyata kepada Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) tatkala malapetaka tadbir urus ini melatari 100 hari pentadbirannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Jelasnya lagi, kegagalan demi kegagalan dalam mengurus bencana banjir hanya menonjolkan tahap keupayaan sebenar kerajaan yang dikemudi beliau.
Katanya, kegagalan kepimpinan untuk menghadapi bencana ini lebih awal menunjukkan kerajaan sekarang tidak diyakini mampu melonjakkan negara ke arah pemulihan musibah ini, termasuk wabak yang masih mengganas.
“Sewaktu saya turun mengagihkan bantuan kepada rakyat terkandas, saya mendengar dan menyaksikan sendiri babak luar biasa yang memaparkan sikap belas kasihan dan keprihatinan yang tinggi. Saya turut berkongsi kekecewaan mereka berhubung kelemahan kerajaan dalam menangani krisis ini.
“Bagaimanapun, saya kagum dengan semangat kekeluargaan sebenar yang ditonjolkan rakyat berbilang kaum, tatkala pemimpin utama kerajaan sibuk bermesyuarat,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut menggesa Ismail mengambil tindakan segera menubuhkan jawatankuasa diraja, dan jawatankuasa Parlimen untuk menambah baik tahap kesiapsiagaan bencana.
Katanya, kerajaan juga dituntut membantu rakyat mendapatkan semula rumah mereka yang dibadai banjir dan tidak memandang remeh soal pemulihan sebaik banjir pulih.
“Kerajaan mesti telus dan bertanggungjawab kepada orang ramai dan mengadakan sidang media harian bagi mengemas kini situasi semasa banjir dan langkah menyelamat.
“Saya juga ingin mendesak kerajaan persekutuan membetulkan ketempangan dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, di mana Menteri Besar mesti dikembalikan kuasa dan peranannya dalam mengemudi krisis ini,” katanya yang turut menghargai inisiatif kerajaan Selangor memperuntukkan bantuan RM100 juta kepada mangsa banjir.
Dalam pada itu, Anwar berkesempatan melawat lokasi banjir di Padang Jawa dan Sri Muda untuk mengedarkan bantuan.
“Saya berharap kita semua kuat dan bersatu padu membantu sebaik mungkin. Kita mesti keluar daripada musibah ini dengan semangat kerukunan dan kasih sayang yang tinggi antara rakyat berbilang kaum,” katanya.