Thursday, October 5, 2023

‘Anda ahli politik berbakat’, KJ ucap tahniah kepada Rafizi

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menggambarkan Rafizi Ramli sebagai “ahli politik berbakat” susulan kemenangan tidak rasminya dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR.

Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau turut mengalu-alukan kehadiran semula bekas ahli Parlimen Pandan itu dalam arena politik.

“Tahniah Rafizi Ramli kerana menang jawatan timbalan presiden PKR dan selamat kembali aktif berpolitik.

“Saya selalu mengatakan bahawa anda adalah ahli politik paling berbakat dalam generasi kita (walaupun berada dalam pasukan lain),” katanya menurut laporan Astro Awani.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk anda,” kata Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno.

Rafizi mengungguli saingan jawatan nombor dua parti itu dengan kelebihan hampir 20,000 undi selepas keputusan tidak rasmi di negeri terakhir, Sarawak, diperoleh hari ini.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali, “bangga” dan mengucapkan tahniah atas kemenangan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari selepas menang jawatan naib presiden PKR dan ketua bahagian Gombak.

Kenyataan itu pasti menambah “luka” kepada pesaing bagi jawatan ketua bahagian berkenaan, iaitu Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang sebelum ini merupakan pengkritik tegar Azmin.

Azmin yang juga bekas timbalan presiden PKR menerusi ciapan di Twitter semalam, mengharapkan “persefahaman” yang terjalin antara Amirudin akan terus membawa kebaikan, namun tidak mengulas lanjut berhubung “persefahaman” yang dikatakan itu.

“Tahniah Amirudin kerana terpilih. Semoga persefahaman akan terus membawa kebaikan,” katanya yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Amirudin merupakan “protege” kepada Azmin ketika menjadi menteri besar Selangor sebelum meletak jawatan pada 2018 untuk berkhidmat sebagai menteri kerajaan pusat, pimpinan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Azmin yang digelar sebagai “kartel” dalam PKR menjadi antara watak utama dalam “Langkah Sheraton” yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas berkuasa selama 22 bulan berikutan kemenangan menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Berkaitan