Wednesday, November 30, 2022

Anak bekas pemerintahan diktator, Marcos Jr. menang pilihan raya Presiden Filipina

MANILA – Anak bekas pemerintah diktator Filipina, Ferdinand Marcos Jr, memenangi pilihan raya presiden negara itu dalam kiraan tidak rasmi selepas mendahului dengan 30 juta undian berbanding lawannya, lapor stesen penyiaran CNN.

Kemenangan tersebut bakal menyaksikan zaman kegemilangan era pemerintahan Marcos kembali ke Istana Malacanang selepas 36 tahun rampasan kuasa berlaku akibat pemberontakan besar-besaran.

Marcos Jr dilaporkan mendapat kira-kira 30 juta undi berbanding pesaing terdekatnya, Naib Presiden semasa kerajaan, Leni Robredo yang mempunyai kira-kira 14 juta undi, demikian menurut pengiraan separa dan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (Comelec).

Bagaimanapun, keputusan rasmi pemilihan presiden mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk disahkan.

Dikenali sebagai “Bongbong” di Filipina, kebangkitan Marcos Jr adalah kemuncak percubaan selama beberapa dekad untuk menjenamakan semula legasi dan imej keluarga Marcos menerusi media sosial.

Marcos Jr ialah anak lelaki kepada bekas presiden Filipina, Ferdinand Marcos Sr, yang memerintah negara itu selama 21 tahun dengan pelbagai pencabulan hak asasi manusia dan rampasan wang negara.

Bakal pengganti Presiden Rodrigo Duterte itu mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya atas kepercayaan mereka terhadap beliau.

“Walaupun pengiraan belum berakhir, saya tidak sabar untuk mengucapkan terima kasih kepada anda semua, kepada mereka yang membantu, kepada mereka yang menyertai perjuangan kami dan kepada mereka yang berkorban sepanjang kempen pemilihan presiden berlangsung,” katanya.

Semasa berkempen, Marcos Jr menggunakan manifesto berasaskan platform perpaduan dan telah menjanjikan lebih banyak pekerjaan, harga yang lebih rendah dan lebih banyak pelaburan dalam pertanian serta infrastruktur.

Beliau juga berazam mengembalikan semula penguasaan keluarga Marcos yang pada kepercayaan Marcos Jr sebagai ditakdirkan untuk memerintah Filipina. – Agensi

Marcos Jr. menang pilihan raya Presiden Filipina

Berkaitan