Dengan keluarnya Zuraida Kamaruddin daripada Bersatu, seorang pemimpin parti mengeluarkan peringatan bahawa jawatannya dalam Jemaah Menteri mesti kembali kepada Bersatu.
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pemergian Zuraida daripada parti dipersetujui dan tidak wujud “hubungan buruk”, walaupun beberapa ahli parti mengkritiknya.
Beliau berkata, perpindahan Zuraida ke Parti Bangsa Malaysia (PBM) dijangkakan secara meluas oleh kepimpinan Bersatu kerana jelas beliau adalah penggerak utama di sebalik penubuhan PBM Oktober lepas.
Senator itu berkata, beliau menerima surat tunjuk sebab berhubung dakwaan penglibatannya dalam PBM, dan peletakan jawatannya hari ini adalah bukti beliau terlibat dalam parti yang baru ditubuhkan itu selama ini.
“Kami berterima kasih kepadanya atas jasanya sebagai menteri Bersatu. Beliau telah menjalankan tugasnya dengan hebat dalam tempoh singkatnya (memegang jawatan). Mengenai siapa yang akan menggantikannya sebagai menteri, ia adalah seseorang daripada Bersatu.
“Ini seperti yang dipersetujui antara presiden kami, Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob). Jadi prerogatifnya tetap pada perdana menteri dan Muhyiddin,” kata timbalan menteri perpaduan negara itu kepada FMT.
Pagi ini, Zuraida, yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi, mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM.
Katanya, beliau akan membincangkan peletakan jawatannya dalam Jemaah Menteri dengan perdana menteri dalam masa terdekat, namun tetap menyokong kerajaannya.
Zuraida menyertai Bersatu selepas dipecat daripada PKR berikutan Langkah Sheraton pada 2020.
Khabar angin bahawa beliau akan meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM bertiup kencang sejak akhir tahun lepas, dengan timbul spekulasi bahawa bekas naib presiden PKR itu akan mengetuai parti yang kini diterajui oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng.
Pada Disember, Zuraida berkata, beliau tidak menerima sebarang tawaran untuk menyertai mana-mana parti, namun “sebarang tawaran mesti dipertimbangkan”.