Amboi marah betul ‘uncle’ ni!! Hanya si dungu percaya SC sudah bersihkan Azam kata Kit Siang

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, hari ini berkata kenyataan Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengenai Azam Baki semalam sebenarnya menjadi ujian kepada kabinet Ismail Sabri Yaakob.

Kata Lim pandangan SC terhadap isu skandal pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu wajar ditanggapi anggota jemaah menteri.

Menurut Lim, hari ini muncul “ujian pemahanan ringkas” untuk anggota kabinet.

“Berapa ramaikah menteri yang bersetuju dengan Azam bahawa dia telah diisytiharkan tidak bersalah untuk apa-apa kesalahan oleh SC?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Veteran DAP itu menambah, jika majoriti menteri percaya yang SC sebenarnya tidak mengisytiharkan Azam tidak bersalah, sebaliknya meninggalkan persoalan tergantung dan tidak dijawab memandangkan agensi itu gagal “untuk menentukan dengan kepastian sama ada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) telah berlaku” maka hanya ada satu pilihan untuk mereka.

Katanya kabinet perlu meminta Azam untuk bercuti daripada jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sehinggalah persoalan mengenai sama ada dia melanggar undang-undang itu dapat disiasat oleh badan lain, termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Hanya seorang dungu saja yang melihat kenyataan SC sebagai melepaskan Azam daripada sebarang kesalahan undang-undang dan merupakan pengisytiharan Azam tidak bersalah,” katanya.

Semalam SC memberitahu mereka sudah menyelesaikan siasatan terhadap pegangan saham Azam. Daripada penelitian dibuat SC mendapati mereka “tidak dapat secara muktamad” memutuskan berlaku perlanggaran undang-undang.

Dalam kenyataan hari ini, SC berkata selaku pengawal selia, remit pengaturan SC tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).

“Dalam hal ini, siasatan adalah berkaitan isu sama ada berlaku kemungkinan perlanggaran di bawah Seksyen 25(4) Sicda berlaku atau tidak.

“Seksyen 25(4) Sicda menggariskan akaun dagangan perlu dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa.

“SC telah memutuskan siasatannya dan berdasarkan bukti yang ada, SC tidak dapat secara muktamad memutuskan pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Sicda telah berlaku,” katanya.

Untuk rekod pada 6 Jan lalu SC menjalankan siasatan ke atas pemilikan saham Azam dan adiknya, Nasir, selepas dia menjadi perhatian ramai baru-baru ini.

Bagaimanapun pada 11 Jan SPRM pula menerima aduan mengenai dakwaan rasuah membabitkan pegawai pengurusan tertinggi SC serta ahli lembaga pengarahnya.

Lim berkata jika kabinet tidak berbuat apa-apa, itu menunjukkan mereka bersetuju bahawa SC sudah membebaskan Azam daripada sebarang kesalahan.

“Rakyat Malaysia berhak menganggap kabinet sedia ada ini terdiri daripada menteri-menteri dengan standard intelek yang rendah dan tidak mempunyai kemampuan pemahaman.

“Ia juga merupakan kabinet terburuk dalam sejarah negara,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/607489

Terkini

Berita Berkaitan