PETALING JAYA: Beberap ahli ekonomi memuji keputusan Majlis Amanah Rakyat mengurangkan aktiviti syarikat pelaburannya, Mara Corporation.
Madeline Berma, seorang profesor di Akademi Sains Malaysia, mendakwa beberapa keputusan Mara Corp didorong politik dan tidak bertujuan untuk memenuhi keperluan sosio-ekonomi.
Beliau percaya Mara kurang berjaya dalam misi mengasuh usahawan kerana kaedahnya tidak mengalakkan semangat berdikari.
“Bantuan yang diberi menyebabkan usahawan bergantung kepada Mara. Itu menjadikan mereka kurang berdaya saing.
“Tambahan pula, beberapa bantuan itu tidak capai sasarannya,” katanya.
Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata mengurangkan aktiviti dagangan Mara akan mengurangkan peluang-peluang rasuah.
Beliau berkata agensi-agensi kerajaan sentiasa terdedah kepada risiko sekiranya terlibat dalam aktiviti perniagaan kerana mereka menggunakan wang rakyat.
Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata Mara perlu tumpu pada pendidikan dan latihan daripada terlibat secara langsung dalam usaha niaga.
Beliau berkata lebih baik Mara tumpu memperkasakan usahawan Melayu yang memang minat berniaga dengan menyediakan sokongan, rangkaian dan latihan yang perlu.
“Mara perlu lebih tumpu pada latihan kerana kerajaan sudah sediakan pelbagai skim untuk usahawan Melayu,” katanya.
Seorang ahli ekonomi yang tidak mahu dinamakan berkata Mara Corp boleh berjaya sebagai pusat pendidikan dan latihan usahawan hanya jika usahawan berkenaan mempunyai rancangan jangka masa pendek dan panjang yang betul.
Katanya lagi, usahawan Melayu harus diajar melabur semula keuntungan daripada menggunakannya untuk membeli kenderaan dan barangan mewah.
Antara kegagalan Mara Corp adalah cubaan membuka sebuah pusat beli-belah digital, yang dibuka pada 2015. Ia cuba bersaing dengan pusat beli-belah komputer lain, tetapi tidak menawarkan pengalaman yang unik untuk menarik pelanggan.
Pada Rabu, Pengerusi Mara, Hasnita Hashim dalam suratnya kepada perdana menteri berkata Mara akan mengurangkan kegiatan-kegiataan dagangannya.
Pemerhati melihat langkah itu tidak seperti rancangan awal untuk menutup Mara Corp, pengumuman yang mengundang bantahan kumpulan-kumpulan Melayu.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/01/10/ahli-ekonomi-puji-langkah-kurangkan-aktiviti-mara-corp/