KOTA BHARU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Tanah Merah Mohd. Bakri Mustapa daripada UMNO menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Mohd. Bakri berkata, beliau telah menghubungi Pengerusi Kesedar, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz bagi memaklumkan perletakan jawatan itu.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat sebagai tanda solidariti tidak berbelah bahagi kepada parti selepas pucuk pimpinan tertinggi UMNO memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada suluruh warga Kesedar yang telah memberikan kerjasama sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Pengarah.
“Saya sudah bersama Kesedar sejak dua tahun lalu dan diberikan kepercayaan pada tahun berikutnya untuk kembali berada dalam barisan kepimpinan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di sini hari ini.-K! ONLINE