74,392 permohonan, hanya 34,643 layak terima pinjaman peribadi RM722 juta, kata KWSP

Sebanyak 74,392 permohonan diterima di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) setakat 14 April 2023, dengan 34,643 daripadanya adalah permohonan yang layak dengan jumlah RM722 juta, menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah Azizan berkata KWSP menjangkakan jumlah permohonan FSA2 akan terus meningkat, lebih-lebih lagi setelah Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan BSN MyRinggit Insan-i pada Sabtu.

“Kami berbesar hati kerana MBSB Bank dan BSN menyokong FSA2, yang kami percaya akan membantu ahli yang mempunyai isu kecairan tunai untuk mendapatkan pembiayaan peribadi tanpa impak yang serius terhadap simpanan persaraan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga mengakui terdapat kekeliruan dalam kalangan sebilangan ahli KWSP berhubung keperluan pembayaran balik bulanan pembiayaan peribadi ini.

Fasiliti ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong oleh pendapatan yang berpatutan untuk memastikan mereka mampu membiayai pembiayaan peribadi tersebut dan komited kepada pembayaran balik bulanan tanpa menjejaskan kecukupan dan jaminan pendapatan persaraan mereka, katanya.

“Perlu diingatkan bahawa bayaran balik bulanan adalah perlu untuk memastikan pinjaman dibayar tepat pada masanya,” katanya.

Menurut KWSP, jumlah kelayakan untuk pembiayaan peribadi ini adalah berdasarkan jumlah simpanan dalam Akaun 2, dengan jumlah pembiayaan minimum sebanyak RM3,000 dan maksimum RM50,000.

Ahli boleh membuat permohonan pembiayaan peribadi secara dalam talian melalui MBSB Bank atau BSN, dan setelah diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan.

“Di bawah Fasa 1, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak bank.

“Amaun pengeluaran yang tertakluk kepada jumlah dalam Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun akan dibuat ke akaun bank ahli apabila ahli mencapai umur antara 50 hingga 55 tahun mengikut pilihan umur pengeluaran ahli,” tambah dana persaraan itu.

KWSP memaklumkan permohonan akan dibuka selama setahun, membolehkan ahli KWSP mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau Umur 55 Tahun.

Ahli boleh melayari http://fsa2.kwsp.gov.my/ untuk menyemak kelayakan bagi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dan jumlah yang boleh dipohon di bawah fasiliti tersebut.

Selain itu, soalan lazim berkaitan fasiliti ini juga terdapat di laman web untuk rujukan ahli.

KWSP juga menyarankan ahli untuk mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit mereka melalui Self-Service Terminal (SST) yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Kos Pengesahan Transaksi (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi.

Layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai FSA2.

FMT

Terkini

Berita Berkaitan