WASHINGTON – Data Pertubuhan Diabetes Amerika Syarikat (ADA) menunjukkan bahawa 40 peratus kematian Covid-19 di negara itu melibatkan mereka yang menghidap diabetes, lapor akhbar New York Post semalam.
“Pandemik ini telah memberi impak teruk kepada mereka yang menghidap diabetes,” jelas ketua pegawai saintifik dan perubatan ADA, Dr. Robert Gabbay.
Beliau menggelar statistik itu ‘mengejutkan’ memandangkan kebanyakan kematian akibat pandemik Covid-19 di AS datang daripada kumpulan yang merupakan 10 peratus daripada populasi negara itu.
Data Universiti Johns Hopkins mendapati, sehingga kelmarin, AS telah merekodkan 608,495 kematian akibat Covid-19 dan hampir 245,000 daripada jumlah itu adalah pesakit diabetes.
“Jika anda menghidap diabetes, anda perlu mendapatkan suntikan vaksin.
“Dengan risiko kemasukan ke hospital dan kematian berkaitan Covid-19 meningkat antara enam hingga 12 kali ganda dalam kalangan mereka yang menghidap diabetes, sudah sampai masanya untuk mendapatkan suntikan vaksin,” kata Dr. Gabbay.
ADA turut berkata kes melibatkan pesakit diabetes tahap dua dalam kalangan kanak-kanak meningkat hampir dua kali ganda semenjak bermulanya pandemik. -Agensi