Apa yang keluar dari mulut Annuar Musa, memang tidak boleh pakai

Dakwaan Tan Sri Annuar Musa bahawa lebih dua juta ahli sudah meninggalkan UMNO merupakan satu pembohongan dan pendedahan itu bertujuan untuk mendapatkan sokongan rakyat semata-mata.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, parti itu baharu sahaja selesai pemilihan pada 18 Mac lalu, malah mesyuarat Bahagian dan Cawangan berjalan lancar kerana ahli masih teguh bersamanya.

“Kerja dia tabur fitnah untuk mendapat sokongan, apa sahaja yang keluar dari mulut Annuar sudah tidak relevan, semasa jadi Setiausaha Agung UMNO, dia suruh orang UMNO kerjasama DAP.

“Apabila dapat jawatan Menteri, dia jadi jurucakap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menikam UMNO dari dalam. Apa saja dia tak kutuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin!

“UMNO tetap dengan pendirian menjaga orang Melayu dan agama Islam. Orang seperti sesumpah, menukar warna sesuka hati. Tak perlulah nak percaya,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, media melaporkan Annuar mendakwa UMNO bukan lagi parti yang menjadi pilihan rakyat khususnya orang Melayu.

Dakwa Annuar, lebih dua juta ahli UMNO meninggalkan parti Melayu itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu mengatakan UMNO bukan lagi parti yang mengutamakan perpaduan rakyat, malah tidak lagi menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara. – MalaysiaGazette

Terkini

Berita Berkaitan