10 pemimpin UMNO terbuang akan masuk PN

Perikatan Nasional (PN) sedang dalam membuat perancangan untuk membawa sekumpulan “panglima perang Umno”, kata setiausaha agungnya, Hamzah Zainudin.

Pemimpin Bersatu itu mendedahkan bahawa kumpulan berkenaan terdiri daripada 10 “panglima perang” yang telah disisihkan oleh Umno.

Bekas menteri dalam negeri itu berkata ketika ini barisan kepimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan itu.

“Insya-Allah kita tengah buat perancangan dan akan umumkan dalam waktu terdekat untuk kita sesuaikan dengan program yang sudah kita aturkan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini, tanpa mendedahkan identiti mereka.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu Razali Idris berkata 10 bekas pemimpin Umno itu akan menyertai PN sebelum pilihan raya akan datang bagi enam negeri.

“Ada…kira orang yang ada nama, yang disisihkan oleh Umno. Secara sukarela (mereka) sertai salah satu parti (dalam PN) sama ada PAS atau Bersatu,” katanya.

Pada Sabtu lalu, PAS mengumumkan bahawa bekas penyokong Umno, Annuar Musa telah diterima sebagai ahli parti itu.

Setiausaha Agung PAS Takiyiddudin Hassan berkata ramai lagi yang turut memohon menyertai parti-parti dalam PN dan nama mereka akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Itu, kamu kena tanya (Pengerusi PN) Muhyiddin (Yassin),” katanya.

Ditanya jika Khairy, yang telah dipecat oleh Umno, akan bertanding pada pilihan raya negeri akan datang, Hamzah hanya tersenyum.

Pada Mei lalu, Muhyiddin mengesahkan bahawa PN cuba memikat Khairy dan telah menawarkannya sebagai ahli dalam majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu.

Khairy baru-baru dilaporkan berkata, dia akan bertemu dengan presiden Bersatu itu berhubung isu berkenaan minggu ini.

Bersatu ditubuhkan oleh Muhyiddin dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 2016 sebagai alternatif kepada Umno susulan kedua-dua mereka bertelagah dengan perdana menteri ketika itu Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Parti itu juga adalah sebahagian daripada sekutu Pakatan Harapan sehingga rampasan kuasa melalui Langkah Sheraton, yang turut menyaksikan Mahathir dan Muhyiddin berpisah arah.

Namun setelah hampir menyaksikan kemusnahannya dan pada masa yang sama, prestasi cemerlang PN pada pilihan raya umum lalu, Mahathir kini memutuskan untuk menyokong gabungan itu menentang kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang didakwanya tidak mewakili orang Melayu secara berkesan.

https://www.malaysiakini.com/news/668408

Terkini

Berita Berkaitan