Dulu muka ‘tak semenggah’, sekarang macam bintang K-Pop

HANOI: Siapa sangka selepas 10 tahun bersusah payah, seorang lelaki Vietnam menjadi terkenal dalam media sosial ekoran perubahan drastik fizikalnya.

Tran Dang Phuoc Cuong berjaya menjalani pembedahan plastik sehingga rupa parasnya persis bintang K-Pop Korea Selatan.

Lelaki itu kemudian berhijrah ke China dan mempelajari bahasa Cina supaya dia dapat meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan.

Semasa dia berusaha mencari pekerjaan sambilan, Cuong mendapati penampilannya menjadi halangan sehingga dia pernah cuba untuk menoreh mukanya dengan pisau.

Selepas berusaha mencari pekerjaan sebagai penari di bar popular Shanghai, lelaki itu tidak diterima bekerja kerana wajahnya tidak kacak.

Bertitik tolak daripada itu, Cuong mula menyimpan duit sendiri dan bertekad mengubah wajahnya yang menjadi penghalang cita-citanya.

Pada 2011, Cuong menjalani pembedahan untuk mengurangkan saiz hidungnya.

Enam bulan selepas itu, dia menjalani pembedahan lain untuk mengubah bentuk hidung dan memanjangkan muncung hidungnya.

Selepas itu, dia diterima bekerja sebagai model kedai fesyen dan mula merancang pembedahan seterusnya.

Cuong lebih bersemangat untuk mengubah bentuk bibir dan dagu sehingga rupa parasnya kelihatan berbeza berbanding sebelum ini.

“Saya tidak pernah lupa semasa terbaring dalam dewan pembedahan dengan lampu menyuluh mata, bau antiseptik, pembalut dan muka membengkak.

“Ramai berfikir pembedahan plastik akan menyebabkan anda menjadi ‘ketagih’, namun realitinya tiada sesiapa yang mahu ketagih dengan kesakitan,” katanya.

Cuong yang kini sudah berusia 29 tahun berulang alik mengembara dari Vietnam ke Shanghai atas urusan perniagaan dan menjadi model peragaan.-AGENSI

Dulu muka ‘kampung’, sekarang macam bintang K-Pop

Terkini

Berita Berkaitan