Dakwaan ‘beli’ sokongan, SPRM panggil 3 pemimpin DAP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil keterangan tiga Ahli Parlimen DAP berhubung dakwaan beberapa Ahli Parlimen parti itu ditawarkan rasuah untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat mengesan identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada Ahli Parlimen berkenaan.“SPRM memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada Sabtu lalu, tiga pemimpin DAP mendakwa ditawarkan wang serta jawatan menteri untuk meninggalkan parti itu dan memberi sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang akan diuji keabsahannya di Parlimen bulan depan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mendakwa mereka ditawarkan ganjaran dan kedudukan itu oleh pihak yang tidak dikenali.

Khoo mendakwa beliau ditawarkan “durian RM30” dan jawatan menteri menerusi mesej di WhatsApp. Ahli Parlimen Bandar, Kuching Kelvin Yii turut mendakwa menerima tawaran sama.

Kula yang juga naib pengerusi DAP, kemudian membuat laporan polis selepas pegawainya menerima panggilan telefon dan mesej WhatsApp, menawarkan Ahli Parlimen itu wang, jawatan menteri dan ganjaran tambahan untuk “memperolehi sokongan kepada kerajaan PN”.

Dakwaan ‘beli’ sokongan, SPRM panggil 3 pemimpin DAP

Terkini

Berita Berkaitan